Date: Khamis, Februari 9, 2023

Pelaksanaan Skim Penarafan Hijau JKR (pHJKR) merupakan salah satu daripada usaha berterusan Jabatan Kerja Raya dalam memastikan visi dan teras pembangunan lestari dilaksanakan di dalam projek-projek JKR. Skim Penarafan Hijau JKR (pHJKR) dibangunkan untuk mengukur dan menilai tahap kelestarian sesebuah projek bangunan atau jalan. Sistem penarafan pHJKR ini juga merupakan satu kaedah dalam membantu pasukan projek menyediakan strategi yang komprehensif dan sesuai ke arah pelaksanaan projek lestari. Bagi memperkukuhkan lagi pelaksanaan Penarafan Hijau JKR (pHJKR) dalam projek-projek JKR, Surat Arahan KPKR Bil.2/2020 bertarikh 17 Januari 2020 telah dikeluarkan bagi memastikan projek-projek yang memenuhi syarat dapat melaksanakan pHJKR.

Selain itu, tahap kelestarian projek-projek yang melaksanakan pHJKR diukur semasa peringkat rekabentuk dan operasi. Untuk makluman, sehingga tahun 2022, pencapaian pHJKR bagi projek-projek adalah menggalakkan. Sebanyak 39 projek bangunan dan 45 projek jalan telah melalui proses Penilaian Reka Bentuk (PRB). Manakala sebanyak 30 projek bangunan dan 3 projek jalan telah pun melaksanakan Verifikasi Pemarkahan (VP), iaitu setelah sesuatu projek itu diserahkan kepada pihak pelanggan. Dan daripada jumlah itu sebanyak 29 projek telah mendapat pengiktirafan 2 bintang dan ke atas semasa peringkat Verifikasi Pemarkahan (VP).

Bagi tahun 2022, terdapat 3 projek yang telah berjaya mendapat penarafan penuh bagi penarafan hijau JKR (pHJKR) yang terdiri daripada dua projek bangunan dan satu projek jalan.

Projek pertama yang akan diberikan disampaikan sijil pada pagi ini adalah projek Cadangan Pembinaan Politeknik Hulu Terengganu. Projek ini telah mendapat penarafan Dua Bintang atau dikenali sebagai Potensi Pengiktirafan. Projek yang dinilai dibawah kategori pembangunan baru ini telah dinilai oleh penilai yang dilantik pada 21-22 Jun 2022. Projek ini masih mempunyai ruang penambahbaikan di masa hadapan untuk mendapat penarafan yang lebih tinggi. Tahniah diucapkan kepada pihak HOPT, HODT, SO dan semua yang terlibat di atas komitmen dan kerjasama dalam memastikan projek ini berjaya mendapat pengiktirafan bintang bagi pHJKR.

Projek kedua yang akan diberikan disampaikan sijil pada pagi ini adalah projek Pensijilan Semula Penarafan Hijau JKR Bagi Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai, Kelantan. Projek ini telah mendapat penarafan Tiga Bintang atau dikenali sebagai Amalan Pengurusan Terbaik. Projek ini telah dinilai oleh penilai yang dilantik pada 04 – 05 Oktober 2022. Sekalung penghargaan dan tahniah diucapkan kepada pihak Hospital Sultan Ismail Petra di atas minat dan komitmen yang tinggi untuk mendapatkan pensijilan semula bagi premis kerajaan ni. Untuk makluman, premis ini berpotensi untuk mendapatkan penarafan 4 bintang pada masa hadapan berdasarkan pencapaian markah yang diperolehi pada penarafan pada kali ini. Syabas diucapkan.

Projek ketiga yang akan diberikan disampaikan sijil pada pagi ini adalah Projek Menaiktaraf Jalan Persekutuan FT83 Dari Tol Chenor Ke Bandar Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang Darul Makmur. Projek ini telah mendapat penarafan Tiga Bintang atau dikenali sebagai Amalan Pengurusan Terbaik. Projek yang dinilai dibawah kategori Jalan Naik taraf ini telah dinilai oleh penilai yang dilantik pada 27 April 2022. Sekali lagi saya mengucapkan tahniah kepada pihak HOPT, HODT, SO dan semua yang terlibat di atas komitmen dan kerjasama dalam memastikan projek ini berjaya mendapat pengiktirafan bintang pHJKR.

Adalah di harapkan pengiktirafan ini dapat menjadi galakan dan dorongan kepada kita semua untuk memperkasakan pelaksanaan pHJKR dalam projek-projek pembangunan dan seterusnya merealisasikan aspirasi supaya projek-projek kerajaan dapat dilaksanakan secara lestari. Bagi pasukan projek dan pemilik bangunan semoga prestasi dan kecemerlangan bangunan lestari dapat dikekalkan.