Date: Jumaat, November 18, 2016
Bangunan Menara Kerja Raya telah menerima Anugerah Public Sector Award oleh FIABCI Malaysia di Malaysia Property Award 2016. Majlis tersebut telah diadakan di One Utama Hotel pada 17 November 2016 dan Anugerah ini telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor.Majlis Anugerah tersebut telah dihadiri oleh YBhg. Dato' Sri Ir. Dr. Roslan Md Taha, Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia, YBhg. Dato' Ir. Hj. Mohd Fazli bin Osman, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar) dan juga pengurusan atasan JKR Malaysia.
 
Malaysia Property Award adalah anugerah yang tertinggi untuk pemaju dalam industri hartanah, ia adalah satu platform bagi mereka untuk mempamerkan produk terbaik mereka. 
 
Pencalonan untuk anugerah ini telah melalui prosedur, kaedah-kaedah dan peraturan-peraturan yang ketat dan proses penghakiman yang telus untuk mengekalkan reputasinya sebagai anugerah yang berprestij. 
 
Pemenang anugerah Malaysia Property Award ini akan mewakili Malaysia untuk bersaing dengan projek-projek dari negara-negara lain di FIABCI World Prix d'Excellence Awards, di mana majlis penyampaian anugerah akan diadakan di Kongres Dunia FIABCI pada bulan Mei, setiap tahun.
 
Seluruh warga JKR berbangga dengan pencapaian ini dan setinggi tahniah dan terima kasih kepada YB Menteri Kerja Raya, YB Timbalan Menteri Kerja Raya, YBhg. Dato Sri Ketua Setiausaha KKR, YBhg. Dato Sri KPKR, Pengurusan Atasan KKR dan JKR, Pasukan Projek KKR2 serta semua warga kerja KKR dan JKR yang terlibat secara langsung dan tidak langsung di atas penganugerahan ini.