Date: Jumaat, September 28, 2018

TORONTO, KANADA : Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada En. Mohd Hafis bin Ahmad, kakitangan JKR yang bertugas di Urus Setia Disiplin Awam JKR kerana telah memenangi dua (2) anugerah inovasi melalui produk penyelidikan dan inovasi bertajuk Critical Success Factor of Readiness Towards Change Management in the Malaysian Public Organisation sempena 3rd International Invention Innovation Competition in Canada (iCAN 2018) pada 1 September 2018 yang lepas.

Produk penyelidikan dan inovasi ini telah dianugerahkan Anugerah Khas dari Korea Invention Academy (KiA) dan Anugerah Pingat Emas (iCAN 2018) dari Toronto International Society of Innovation & Advanced Skills (TISIAS).

Sebagai makluman, iCAN 2018 merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Toronto International Society of Innovation & Advanced Skills (TISIAS), Kanada bertujuan menghimpunkan hasil inovasi para inovator dari Kanada dan seluruh dunia serta memberi ruang dan peluang kepada para peserta untuk memperluaskan aktiviti dengan mempamerkan dan mempromosikan inovasi mereka di samping berpeluang memenangi anugerah penciptaan dari penganjur. Acara ini menggabungkan pameran inovasi, seminar pendidikan, dan majlis penyampaian anugerah untuk pencipta, pelajar, penyelidik, dan usahawan dari seluruh dunia melibatkan penyertaan lebih daripada 350 produk penyelidikan dan inovasi dari 42 buah negara.

Dengan penghasilan kerangka kerja tersebut diharap dapat dimanfaatkan kelak sebagai panduan kepada pengurusan organisasi awam di Malaysia ke atas strategi perancangan pengurusan perubahan organisasi yang lebih baik dan berkesan. Ia seterusnya memastikan pelaksanaan program pengurusan perubahan organisasi yang lebih cekap, terutamanya JKR untuk mencapai visi, misi, objektif dan fungsi jabatan demi memastikan tahap kesediaan organisasi dan kakitangan dalam menghadapi perubahan organisasi.