Date: Isnin, Ogos 15, 2016

Pada 11 Ogos 2016 bertempat di Pusat Konvensyen Chung Mu Art Hall, Seoul, Korea Selatan, pegawai dari Jabatan Kerja Raya (JKR) iaitu Ir. Dr. Zarabizan Zakaria bersama dengan Ir. Dr. Syuhaida Ismail yang merupakan Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur telah berjaya memenangi Pingat Emas (Gold Medal) di 3rd Korea Creative Invention Contest (CiC) 2016 melalui penghasilan inovasi ‘Accurateness of Work Programme Analysis (AWPA)’.

Lebih membanggakan lagi apabila Asia Invention Association (AIA) untuk julung-julung kalinya telah berbesar hati menganugerahkan Anugerah Khas (Special Award) kepada mereka berdua di atas pencapaian ini. Kemenangan ini membuktikan hasil penyelidikan dan inovasi di antara  pegawai JKR dengan kerjasama UTM adalah bertaraf dunia dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Difahamkan, 3rd Korea Creative Invention Contest (CiC) 2016  berfungsi sebagai landasan yang terbaik untuk memberi penghargaan kepada individu, kumpulan penyelidik, organisasi dan universiti dalam pelbagai bidang di dunia ini yang telah berjaya menghasilkan ciptaan terbaru, kreativiti terkini dan inovasi terbaik untuk pembangunan pelbagai industri di seluruh dunia.

Semoga pencapaian ini akan menjadi pendorong dan pembakar semangat kepada keseluruhan pegawai-pegawai di JKR khususnya kepada mereka yang akan/sedang mengikuti pengajian dalam peringkat Sarjana dan Ijazah Kedoktoran (PhD) agar menanamkan iltizam serta berazam untuk mengharumkan nama jabatan diperingkat antarabangsa.