Date: Selasa, September 21, 2021

Pada 14 September 2021 yang lalu, YBhg. Dato’ Ir. Haji Mohamad Zulkefly bin Sulaiman, Ketua Pengarah Kerja Raya (KPKR) telah merasmikan program Taklimat Inisiatif Value At Entry (VAE) kepada Semua Kementerian, yang dianjurkan oleh Cawangan Perancangan Aset Bersepadu (CPAB) bertujuan memberi pengenalan dan kefahaman berkaitan pelaksanaan Inisiatif VAE oleh Kementerian dalam menyediakan cadangan projek pembangunan.

Inisiatif VAE merupakan inisiatif strategik dalam pelaksanaan projek Kerajaan bagi membudayakan Doing Right Project Rightly, yang seterusnya dapat memastikan projek yang dicadangkan oleh Kementerian dan Agensi adalah berdaya maju (viable) dan tersedia sebelum dikemukakan untuk kelulusan. Inisiatif VAE ini merangkumi, tiga (3) inisiatif khusus iaitu Acquisition Categorization (ACAT), Value Management di Peringkat Strategik (VMS) dan Gerbang Nilai 0 (GN0). Pelaksanaannya adalah selaras dengan arahan daripada Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 15 Julai 2021 yang menetapkan Kementerian bersama Agensi Teknikal perlu melaksanakan Inisiatif VAE bagi memantapkan perancangan di peringkat pewujudan projek pembangunan bermula daripada Rolling Plan 3 (RP3), RMKe-12.

Taklimat yg merangkumi ketiga-tiga inisiatif ini telah dilaksanakan selama setengah hari yang dihadiri oleh 420 peserta dari pelbagai kementerian, jabatan dan agensi. Sesi taklimat turut diakhiri dengan sesi soal jawab yang mana segala permasalahan yang ditimbulkan telah dibincangkan dan diperhalusi.

Penganjuran taklimat oleh CPAB ini merupakan usaha berterusan JKR sebagai Agensi Teknikal untuk bersama-sama dengan pihak Kementerian termasuk Pegawai Kader JKR bagi menjayakan Inisiatif VAE yang bertujuan memantapkan perancangan semasa peringkat pewujudan projek pembangunan. Selain itu, pihak CPAB juga telah menganjurkan Kursus Hands-On Inisiatif VAE kepada Pegawai Kader JKR pada 7-8 September 2021 yang lalu sebagai persediaan dan pemantapan pegawai Kader JKR di Kementerian dan Agensi dalam menyelaras dan melaksana inisiatif ini.