Date: Khamis, Oktober 15, 2020

Jabatan Kerja Raya Malaysia telah menganjurkan Taklimat Kempen Pembudayaan Norma Baharu peringkat Jabatan Kerja Raya yang telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Ir. Haji Mohamad Zulkefly bin Sulaiman, Ketua Pengarah Kerja Raya pada  14 Oktober 2020 (Rabu) 8.30 pagi bertempat di Ruang Legar Aras 2, Menara Kerja Raya, Ibu Pejabat JKR Malaysia.

Selaras dengan situasi dan perkembangan semasa, penganjuran program ini dilaksanakan secara maya dan hanya dihadiri oleh YBhg. Dato’ Ir. Haji Mohamad Zulkefly bin Sulaiman, Ketua Pengarah Kerja Raya, YBrs. Ir. Razdwan bin Kasim Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (TKPKR) (Sektor Bangunan), YBhg. Dato’ Ir. Ahmad Redza bin Ghulam Rasool, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (TKPKR) (Sektor Infra), YBhg. Datin Ar. Hajah Mariani Noor binti Haji Suhud (Menjalankan tugas Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (TKPKR) (Sektor Pakar)), Ir. Haji Masri bin Baharuddin, Pengarah Cawangan Dasar Dan Pengurusan Korporat dan sebilangan kecil pegawai Kanan JKR yang berkaitan. Taklimat ini turut disaksikan secara atas talian oleh Pengarah Kanan / Pengarah Cawangan dan Negeri.

Taklimat ini merupakan kesinambungan kepada Pelancaran Kempen Pembudayaan Norma Baharu peringkat kebangsaan yang telah diadakan pada 8 Ogos 2020 oleh YAB Perdana Menteri Malaysia bertempat di Kompleks Sukan Pagoh, Johor dan Pelancaran Kempen Pembudayaan Norma Baharu Peringkat Kementerian Kerja Raya yang telah dilaksanakan pada 5 September 2020 di Restoran Jejantas Sungai Buloh oleh YB Timbalan Menteri Kerja Raya.

Dalam sesi berkenaan, turut diadakan gimik penyerahan bahan promosi pembudayaan norma baharu oleh YBhg. Ketua Pengarah Kerja Raya kepada wakil-wakil yang terdiri daripada Pengarah Kanan Cawangan dan Pengarah Negeri yang berkaitan. Seterusnya, kesemua bahan-bahan promosi meliputi poster, bunting, banner, pelekat kenderaan, pelitup muka dan hand sanitizer akan diagih-agihkan kepada semua pejabat JKR di peringkat Cawangan, Negeri dan Daerah.

Antara intipati ucapan perasmian YBhg. Dato’ Ir. Haji Mohamad Zulkefly bin Sulaiman, Ketua Pengarah Kerja Raya adalah seperti berikut:

  1. Keputusan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 12 Oktober 2020, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah dikuatkuasakan di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya bermula daripada 14 Oktober sehingga 27 Oktober 2020 bagi membendung penularan jangkitan COVID-19.
  2. Warga kerja JKR hendaklah hadir mengikut pelaksanaan Waktu Bekerja Flexi (WBF) sebagaimana ketetapan di bawah Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5/ 2019
  3. Penetapan WBF dilaksanakan adalah bagi memastikan penyampaian perkhidmatan tidak terjejas
  4. Kaedah Bekerja Dari Rumah (BDR) boleh dipertimbangkan dengan mengambil kira kebajikan pegawai seliaan masing-masing terutamanya dari segi penjagaan anak sepertimana Surat Edaran Jabatan Perkhidmatan Awam, bertarikh 2 Mei 2020
  5. Surat Arahan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Penganjuran program/ acara rasmi/ kursus/ persidangan/ seminar/ bengkel dengan penglibatan dan kehadiran khalayak ramai di satu-satu tempat adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh pelaksanaan PKPB. Sekiranya perlu dilaksanakan, penganjurannya haruslah dilaksanakan secara maya.
  6. Mesyuarat-mesyuarat secara fizikal boleh dilaksanakan dengan syarat, mematuhi SOP atau mesyuarat boleh diadakan secara atas talian bagi memastikan pelaksanaan kerja tidak terjejas.
  7. Kementerian juga telah bersetuju untuk memberi kebenaran Bekerja Dari Rumah ataupun BDR bagi warga KKR dan agensi yang menetap di kawasan yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
  8. Pengarah Cawangan dan Pengarah Negeri hendaklah menggunakan kebijaksanaan dan pertimbangan sewajarnya bagi menentukan penggiliran bagi pegawai yang layak dipertimbangkan untuk BDR semasa tempoh pelaksanaan PKPB ini.
  9. Pegawai yang yang dibenarkan untuk BDR perlu sentiasa bersedia untuk hadir ke pejabat sekiranya diarahkan untuk hadir  ke pejabat atau mana-mana lokasi lain dan boleh dihubungi dalam tempoh bekerja.
  10. Sekiranya pegawai tersebut gagal mematuhi sebagaimana arahan tersebut, melainkan mendapat kebenaran daripada ketua jabatan, tindakan disiplin boleh dikenakan ke atas pegawai tersebut tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dan peraturan–peraturan lain yang dikeluarkan dari semasa ke semasa
  11. Sentiasa mengamalkan 3W iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), memakai pelitup muka di tempat awam atau jika bergejala (wear), dan amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan (warn).
  12. Seboleh-bolehnya cuba elakkan 3S dan 3C, iaitu jauhi kawasan yang sesak (crowded place), elakkan kawasan yang sempit (confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (close conversation).

Taklimat Kempen Pembudayaan Norma Baharu peringkat JKR Malaysia ini selesai penganjurannya pada pukul 9.00 pagi.