Unit Building Information Modeling (BIM) Bahagian Pengurusan Projek Kompleks, Cawangan Perancangan Aset Bersepadu Ibu Pejabat JKR Malaysia telah menganjurkan program ‘Taklimat Pelaksanaan Building Information Modeling (BIM) dalam Fasa Rekabentuk’ pada 22 Februari 2018 di Bilik Latihan Bixa Tingkat 18 Menara PJD Kuala Lumpur. Taklimat ini telah disampaikan oleh perunding reka bentuk yang mengaplikasikan pemakaian BIM dalam beberapa buah projek iaitu LA Architect, Mohis & Associates Sdn Bhd, Perwira Al-Shura Consulting Sdn Bhd dan Jurukur Bahan AAR. Seramai 90 orang pegawai JKR telah menghadiri program ini di mana sebahagian besar peserta merupakan para pegawai dari Sektor Pakar.
Program yang dirasmikan oleh YBrs. Haji Roslan B. Abd Ghani, Jurutera Awam Penguasa Kanan, Cawangan Perancangan Aset Bersepadu (kini menjalankan tugas sebagai Pengarah Bahagian Pengurusan Projek Kompleks) ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan JKR untuk meningkatkan tahap kefahaman dan kesediaan kakitangan jabatan bagi mengaplikasikan BIM dalam projek melalui pendedahan pelaksanaan BIM oleh pihak luar. Di antara topik pembentangan ialah:
- BIM Design & 3D Workflow oleh LA Architect
- BIM Design for Structure Engineering oleh Mohis & Associates Sdn Bhd
- BIM Design for Mechanical, Electrical and Plumbing oleh Perwira Al-Shura Consulting Engineering Sdn Bhd
- The Convenience of Revit oleh Jurukur Bahan AAR
- BIM Collaboration: Clash Detection and Analysis oleh LA Architect
Melalui program ini, pihak perunding telah berkongsi ilmu pengetahuan dan pengalaman dalam melaksanakan BIM dalam beberapa buah projek termasuk projek Istana Raja Muda Perlis Arau di mana penggunaan BIM di dalam projek ini merupakan inisiatif sendiri kesemua perunding tanpa menerima sebarang arahan atau permintaan daripada mana-mana pihak. Para perunding ini telah mengambil langkah positif dengan mengaplikasikan penggunaan BIM sepenuhnya dalam fasa rekabentuk bagi tujuan mendapatkan visualisasi yang lebih jelas dan koordinasi yang lebih berkesan.
Semoga program ini dapat memberi manfaat dan kefahaman kepada semua pihak tentang pelaksanaan BIM dalam sesebuah projek khususnya semasa fasa rekabentuk.
Disediakan Oleh:
Unit Building Information Modelling
- 2438 bacaan