Date: Khamis, Ogos 29, 2024

Pada 23 Ogos 2024 (Jumaat) bertempat di Ruang Legar Aras 33, Menara Kerja Raya telah berlangsungnya satu Sesi Penyerahan Surat Bersama Sijil Pelantikan Penaja Pelan Strategik JKR 2021-2025 kepada YBrs. Ir. Mohd Shahrom bin Ahmad Saman, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra) yang disempurnakan oleh YBhg. Datuk Wira Ir. Roslan bin Ismail, Ketua Pengarah Kerja Raya. Sesi penyerahan tersebut berlangsung sejurus sebelum bermulanya Sesi Taklimat dan Perbincangan Pelaksanaan Program Demerit Performance Evaluation (Deep) Jabatan Kerja Raya Tahun 2024 oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Majlis turut dihadiri oleh YBhg. Dato' Ir. Hj. Badioezaman bin Ab Khalik, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan); YBrs. Ir. Hj. Zulkifli bin Abdul Rashad, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Pakar) dan YBhg. Dato’ Ir. Ts. Hj. Masri bin Baharuddin, Pengarah Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat dan YBrs. Ir. Fazela binti Mustapa selaku Ketua Sekretariat Pelan Strategik JKR Malaysia.

Pelan Strategik JKR 2021-2025 merupakan satu dokumen penting yang merencanakan tindakan dan inisiatif strategik berteraskan hala tuju, bidang fokus dan pelan tindakan yang menyeluruh bagi tempoh lima (5) tahun. Prestasi pengukuran Pelan Strategik JKR yang disasarkan perlu dipantau rapi secara berterusan bagi menjamin capaian keberhasilan yang ditetapkan setiap tahun.

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada YBrs. Ir. Mohd Shahrom bin Ahmad Saman atas pelantikan ini dan diharap beliau dapat melaksanakan peranan dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh cemerlang bagi memenuhi matlamat dan fungsi Jabatan Kerja Raya Malaysia sebagai sebuah agensi yang berprestasi tinggi.