Melayu

TAHNIAH JKR NEGERI SEMBILAN DI ATAS PENSIJILAN 5S OLEH MPC

Jabatan Kerja Raya Negeri Sembilan (JKRNS) merupakan peneraju utama kepada pembangunan di Negeri Sembilan. Peranan JKRNS sebagai sebuah jabatan yang bertanggungjawab untuk merancang, menyedia dan melaksanakan kerja-kerja pembangunan infrastruktur telah bermula sejak tahun 1940. Bermula daripada satu pejabat, JKR Negeri Sembilan kini telah berkembang ke semua daerah di Negeri Sembilan dan kekuatan ini disokong lagi dengan 2 cawangan Kejuruteraan Elektrik dan Mekanikal yang menjadikan kekuatan warga JKRNS berjumlah 1,005 orang merangkumi kakitangan lantikan negeri dan juga persekutuan.

Memandangkan kepada saiz dan pengurusan jabatan yang luas, sistem yang sistematik perlu dilaksanakan bagi melancarkan lagi urusan harian. Kaedah Amalan 5S menjadi salah satu pendekatan terbaik bagi mengubah persekitaran pejabat agar lebih kemas, teratur dan kondusif.

Menyedari pentingnya persekitaran berkualiti tersebut, Amalan 5S telah dijadikan agenda dalam pengurusan JKR Negeri Sembilan dan pelancaran rasmi pelaksanaan Amalan 5S telah dilaksanakan pada 20 Ogos 2014. Bagi menunjukkan kerjasama dan semangat berpasukan yang tinggi, pengurusan atasan telah bersetuju agar pensijilan dibuat secara serentak di seluruh JKR Cawangan dan Daerah di Negeri Sembilan. Hasrat ini telah direalisasikan dengan pewujudan 10 Zon 5S yang terdiri daripada Ibu pejabat, 7 JKR Daerah dan 2 cawangan Kejuruteraan JKR (Elektrik dan Mekanikal).

Tidak dinafikan proses penyelarasan untuk 10 buah zon yang berada di pelbagai lokasi seluruh Negeri Sembilan menjadi cabaran utama. Justeru pelbagai usaha dan program telah dilaksanakan bagi mencapai hasrat yang telah ditetapkan. Lawatan Penanda Aras (Benchmarking Visit) ke jabatan yang telah memperolehi pensijilan 5S seperti Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dan JKR Bentong telah dilaksanakan untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas terhadap pelaksanaan 5S. Jawatankuasa dan warga JKRNS juga diberi peluang menghadiri taklimat dan bengkel yang berterusan bagi memberi pemahaman tentang kosep dan matlamat 5S.

Penubuhan Jawatankuasa di setiap peringkat telah membantu proses penyelarasan hingga ke peringkat akar umbi jabatan di mana mesyuarat dan sesi perbincangan merupakan platform terbaik dalam mendapatkan persetujuan dan hala tuju ke arah pensijilan 5S jabatan. Pelbagai isu telah dihadapi dalam usaha ke arah pensijilan seperti kekangan peruntukan, komitmen dan bebanan tugas hakiki yang bersilih ganti serta tahap kesedaran warga JKRNS terhadap kepentingan Amalan 5S, namun situasi ini tidak menghalang JKR Negeri Sembilan untuk terus komited dalam mencapai misi dan visi 5S yang telah ditetapkan. Alhamdulillah pada tanggal 22 Oktober 2015 yang lalu segala usaha dan penat lelah warga JKRNS telah membuahkan hasil apabila pihak Jabatan Kerja Raya Negeri Sembilan telah lulus dalam pengauditan oleh Malaysia Productivity Corporation (MPC) dan dianugerahkan pensijilan 5S. Lebih membanggakan lagi, JKR Negeri Sembilan merupakan satu-satunya JKR Negeri yang mendapat pensijilan melibatkan keseluruhan Cawangan, Daerah dan Bahagian.

Bagi mengekalkan pencapaian tersebut, amalan 5S ini akan dibuat secara berterusan dan pihak pengurusan tertinggi JKR telah menetapkan agar pelaksanaan amalan 5S ini dipraktikkan sepanjang masa di seluruh Cawangan dan Daerah Jabatan Kerja Raya Negeri Sembilan. Jelaslah di sini bahawa sesuatu matlamat yang pada awalnya agak mustahil untuk dilaksanakan dapat dicapai dengan usaha yang padu, sokongan yang tidak berbelah bagi, kerjasama yang erat serta doa yang berterusan. Jabatan ini menjadikan pensijilan ini sebagai pemagkin dan motivasi ke arah kejayaan yang lebih cemerlang.

 

Related Posts


Date: Isnin, November 2, 2015