Inggeris

Sebagai menyahut saranan YBhg Tan Sri Ketua Setiausaha Negara merakyatkan perkhidmatan awam, Kelab Sukan dan Kebajikan Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan telah mengadakan satu ekspedisi kembara dan melaksanakan  tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Segamat Johor baru-baru ini. Ekspedisi yang dinamakan Ekspedisi Endau-Rompin ini dianggotai seramai 34 orang pegawai dan kakitangan JKR Negeri Sembilan berjaya merapatkan lagi tali siraturrahim antara pegawai dan kakitangan bawahan selain menikmati keindahan fauna dan flora Taman Negara Endau Rompin di Selai, Bekok, Johor.

Ekspedisi bermula dari base camp di Lubuk Tapah dengan trekking hampir tiga jam melalui denai-denai dan memanjat tebing serta menyusuri anak-anak sungai dengan panduan pegawai daripada Perbadanan Taman Negera Endau Rompin serta pelajar praktikal Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Selai merupakan pintu masuk barat popular ke Taman Negara Endau Rompin  selain daripada Kg Peta, Kahang. Merangkumi 48,500 hektar, Selai mendapat nama daripada seorang puteri yang mempunyai kuasa haba yang sangat panas hingga menjadikan sungai yang mengalir daripada Gunung Besar kering dan kecil ibarat sehelai (sebatang) rotan. Justeru, meninggalkan nama kepada Taman Negara bahagian Selai ini mengikut Lagenda Orang Asli.

Trekking di Taman Negara ini menyaksikan pemandangan hutan flora yang hijau dan terpelihara di samping kedengaran bunyi desiran air yang mengasyikkan daripada jeram-jeram berdekatan.

Kepenatan melalui denai-denai yang berbukit bukau terubat apabila ekspedisi JKR Negeri Sembilan berehat di salah sebuah jeram yang dipanggil Takah Pandan. Air jeram yang sangat jernih lagi dingin membuatkan keinginan peserta untuk berendam dan bermain air lebih lama. Ada dua jeram sebelah menyebelah di Takah Pandan. Tidak kurang daripada 20 buah jeram terdapat di Taman Negara Selai namun sebahagiannya perlu melalui denai yang sangat mencabar serta kudrat yang lebih dengan cuaca yang baik.

Pelbagai aktiviti turut dijalankan oleh peserta ekspedisi JKR. Antaranya bowling Orang Asli, tubing iaitu pertandingan menyusuri sungai menggunakan pelampung atau “boya” serta mengenali jenis-jenis pokok hutan dan herba.

Ekspedisi Endau Rompin Selai diakhiri dengan satu aktiviti CSR JKR Negeri Sembilan iaitu gotong royong mengecat Surau Al-Kauthar, Kg Sg. Kudong, Bekok. Mengikut Pengerusi Surau Kg Sg. Kudong, En Abdul Latif, surau tersebut digunakan oleh hampir 50 orang Islam daripada Orang Asli keterununan Jakun di kampung tersebut. Aktiviti keagamaan termasuk ceramah turut diadakan dari semasa ke semasa di surau tersebut manakala sambutan Maulidur Rasul di balai raya berdekatan. Kampung Orang Asli Sg Kudong ini kelihatan bersih dengan rumah-rumah yang dibina kerajaan dan tersusun, dilengkapi dengan jalan bertar serta bekalan lektrik dan air daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Sila klik di sini untuk laporan bergambar dan gambar-gambar semasa ekspedisi dijalankan.

Yes!!! JKR Negeri Sembilan…

Related Posts