Date: Khamis, November 10, 2016

Cawangan Alam Sekitar & Kecekapan Tenaga (CASKT), JKR Malaysia dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) di bawah projek Building Sector Energy Efficiency Programme (BSEEP), telah merintis kerjasama dengan Pertubuhan Alam Sekitar EcoKnights Kuala Lumpur dan Selangor (Eco Knights) untuk memperkasakan kesedaran awam tentang kecekapan tenaga di dalam bangunan.

Satu kategori pertandingan pembikinan video dan filem pendek telah diperkenalkan di dalam KL Eco Film Fest yang ke-9, iaitu; ‘JKR x UNDP Energy Efficiency in Buildings’ (EEiB). Kategori ini adalah terbuka untuk penyertaan dari dalam dan luar negara. Sebanyak 500 penyertaan telah diterima dari seluruh dunia dan 9 video telah disenarai pendek untuk memenangi kategori tersebut.

Pada 14 Oktober 2016, Majlis Penyampaian Anugerah pemenang kategori JKRxUNDP EEiB, telah berlangsung di Black Box Publika, Solaris Dutamas. Kategori yang telah diperkenalkan ini telah dimenangi oleh Pn Ayu Abdullah dari Malaysia dengan video pendek animasi beliau yang bertajuk – Power Down 2 Power All. Hadiah wang tunai bernilai RM3,000 berserta sijil penghargaan telah disampaikan oleh Ir Gopal Narian Kutty, Pengarah Cawangan Alam Sekitar & Kecekapan Tenaga, JKR Malaysia.

Ini adalah salah satu kempen yang dilaksanakan agar video yang dihasilkan dapat menjadi pendorong kepada syarikat-syarikat swasta dan agensi kerajaan dalam usaha mempromosi kecekapan tenaga di dalam bangunan, ke arah penjimatan tenaga dan pencapaian status Low Carbon Nation dengan sasaran nasional pengurangan 40% CO2 menjelang Tahun 2030.