Pada 12.01.2023 (Khamis), Yang Berhormat Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya telah mengadakan lawatan kerja ke tapak Projek Menaik Taraf Jambatan FT001/724/5 Merentasi Sungai Kerian dan Pembinaan Jejambat Merentasi Persimpangan Jalan Persekutuan ke Jalan Transkrian FT001/FT283 Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.
Turut hadir sama adalah YBhg. Dato’ Wira Wan Ahmad Uzir Bin Hj Wan Sulaiman, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Dato’ Ir. Ahmad Redza Bin Ghulam Rasool, Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (Sektor Dasar & Pembangunan), Pengarah JKR Pulau Pinang, Pengarah PIPC, Unit Projek Khas, HOPT, pihak Perunding dan kontraktor yang dilantik.
Antara perkara yang dibincangkan pada sesi lawatan kerja ini adalah status semasa projek, perancangan dan komitmen pihak kontraktor bagi memastikan projek disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan.
Tarikh milik tapak projek adalah pada 8 Julai 2021 dan dijangka siap sepenuhnya pada 2 Februari 2025.
Skop utama bagi projek ini adalah : -
- Menaiktaraf jalan daripada dua (2) lorong kepada empat (4) lorong dua (2) hala dengan piawaian U5 sepanjang 1.35 km
- Menaiktaraf persimpangan (at grade) serta membina jejambat di FT001/FT283, Jalan Transkrian.
Projek ini bakal membantu penyuraian trafik pada waktu puncak di sebahagian FT001 dari Pulau Pinang ke Perak, menjimatkan masa perjalanan terutama pada waktu puncak dan membantu mengatasi masalah banjir kilat di kawasan tersebut, sekaligus menjaga keselamatan dan keselesaan pengguna.
- 2176 bacaan