Sukacita dimaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah berkenan mengurniakan kepada Encik Abdul Halim bin Mat Daud, Darjah Kebesaran JOHAN MAHKOTA WILAYAH (J.M.W.) sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan Tahun 2023.
Sesungguhnya pengurniaan anugerah kebesaran ini adalah satu pengiktirafan dan penghargaan atas jasa bakti serta sumbangan mereka kepada Negara dan Jabatan khususnya.
Dimaklumkan, YBhg. Dato’ Ir. Ahmad Redza bin Ghulam Rasool, Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia akan menghadiri lawatan teknikal di negara Jerman bersama delegasi dari Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya bermula dari 29 Januari 2023 hingga 07 Februari 2023. Sehubungan itu, YBrs. Sr Amran bin Hj. Mohd Majid adalah diarah untuk menjalankan tugas Ketua Pengarah Kerja Raya di samping menjalankan tugas hakiki YBrs. Sr Amran bin Hj. Mohd Majid sepanjang tempoh tersebut.
Majlis penyerahan projek siap kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah diadakan pada 27 Januari 2023 (Jumaat) bertempat di Bilik Orion, Planetarium Negara pada jam 2.30 petang.
Seluruh warga Jabatan Kerja Raya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas khidmat bakti, ENCIK SHAHRIR BIN SALLEH, JURUTERA AWAM PENGUASA KANAN, CAWANGAN PERANCANGAN ASET BERSEPADU, IBU PEJABAT JKR MALAYSIA yang telah menamatkan perkhidmatan sebagai kakitangan awam pada 31 JANUARI 2023.
Cawangan Kejuruteraan Elektrik (CKE), JKR telah mengadakan satu lawatan kerja khas ke iaitu projek Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur pada 25 Januari 2023. Lawatan semasa kemajuan fizikal di tapak telah mencapai 95% (dijangka siap penghujung tahun 2023) ini telah disertai oleh 20 orang pegawai pengurusan Cawangan Kejuruteraan Elektrik (CKE) Ibu Pejabat, yang terdiri daripada Bahagian Perunding Rekabentuk (BPR), Bahagian Perkhidmatan Pakar (BPP), Bahagian Pengurusan Korporat dan Strategik (BPKS) dan wakil Ketua Jurutera Elektrik Negeri.
Pada 26 Januari 2023 (Khamis) telah berlangsungnya Majlis Amanat Ketua Pengarah Kerja Raya (KPKR) bagi tahun 2023 yang bertempat di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid. Majlis Amanat ini telah dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pakar, Timbalan Ketua Pengarah Sektor Bangunan, Pengarah-Pengarah Kanan, Pengarah-Pengarah Cawangan dan Negeri, Jurutera-Jurutera Daerah serta warga JKR yang berada di ibu pejabat.
Majlis penyerahan Projek Hospital Pendang, Kedah kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia telah diadakan pada 12 Januari 2023 bertempat di Ruang Lobi, Hospital Pendang, Kedah.
Majlis ini telah disempurnakan dengan penyerahan replika kunci oleh Pegawai Penguasa Projek iaitu YBrs. Ir. Mohd Fisal Bin Ismail, Pengarah JKR Negeri Kedah kepada Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada Jabatan Kerja Raya Malaysia, yang merupakan antara 26 jabatan dan agensi yang telah menerima sijil penghargaan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Pemberian sijil ini adalah sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan dan khidmat bakti yang telah diberikan oleh Jabatan Kerja Raya Malaysia dalam kerja–kerja siasatan tragedi tanah runtuh di Laluan B66 Seksyen 14.0 Jalan Batang Kali–Genting Highlands, Daerah Hulu Selangor yang telah berlaku pada 16 Disember 2022.